Pages

Mujahadah.

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Al-’Ankabut [29:69]

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Tafsir Pimpinan al-Rahman;1052)
Ayat 69 ini adalah penutup dan kesimpulan kepada surah al-`Ankabut. Ia juga sebagai sebahagian pentafsiran kepada ayat keenam surah al-Fatihah.
 “ Tunjukkanlah kepada kami jalanMu yang lurus”..

Jalan yang lurus hanyalah satu. Jalan yang telah dilalui oleh para nabi, siddiqin (golongan yang melaksanakan janji mereka kepada Allah) golongan yang mendapat gelaran syuhada’ dan orang-orang soleh yang sentiasa membuat kebajikan.
Mujahadah syarat mendapat petunjuk.
Hidayah atau petunjuk Allah hanya diberikan kepada sesiapa yang sanggup bermujahadah ; berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan tanggungjawab agama iaitu tanggungjawab melaksanakan tuntunan keimanan dan amal-amal soleh.
Berasaskan hakikat ini Allah Azza wa Jalla membimbing rasulullah s.a.w. dalam membuat perubahan dalam diri sahabat r.a. daripada Jahiliyyah kepada Islam melalui proses tazkiyyah (menyucikan diri daripada aqidah yang sesat dan akhlak yang buruk) dan tarbiyyah ( mempelajari dan membina keimanan yang sebenar dan membentuk perilaku yang terpuji dalam diri) dengan cara bermujahadah.
Mereka bermujahadah melawan kejahilan dengan berlumba-lumba menghadiri majlis ilmu bersama rasulullah s.a.w. Mereka bermujahadah membersihkan akhlak-akhlak mazmumah dengan mengisi dengan akhlak mahmudah dengan sentiasa membaca al-quran, berqiamullail dan bersabar menahan tentangan kafir Quraisy.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَاب وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Al-Jumu’ah [62:2]
Dialah yang mengutuskan dalam kalangan orang-orang ( Arab) yang ummiyyin (tidak tahu menulis dan membaca) seorang rasul ( nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah ( Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan) dan membersihkan mereka daripada i’tiqad yang sesat, serta mengajarkan mereka kitab Allah ( al-Quran ) dan Hikmah ( pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syara’) . Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi itu adalah dalam kesesatan yang nyata;” ( Ibid: m.s.1507)
Mujahadah asas perubahan.
Metodologi merubah manusia yang dilakukan oleh nabi s.a.w. ialah dengan memastikan para sahabat membersihkan jahiliyyah i’tiqad dan akhlak dalam diri dengan menuntut ilmu, membina iman dan akhlak mahmudah melalui bermujahadah nafsu untuk menuntut ilmu, mujahadah nafsu untuk melakukan ibadah khusus kepada Allah seperti qiamullail dan membaca al-Quran dan mujahadah diri untuk melakukan amal-amal soleh seperti bersedakah, berdakwah dan membimbing sahabat-sahabat yang baru memeluk Islam.
Dalam muqaddimah surah al-Ankabut ini Allah menjelaskan tentang hakikat kehidupan didunia, hakikat keimanan dan amal-amal soleh.
Dunia pentas ujian dan Akhirat tempat pembalasan

. أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (29:2)
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: kami telah beriman? Sedangkan mereka tidak diuji ( dengan sesuatu cubaan) ( ibid: ms.1031).
Hidup di dunia sebagai tempat ujian merupakan hakikat kehidupan yang sebenar di dunia ini. Inilah sunnatullah dan kehendak Allah yang tidak ada sesiapapun terlepas daripadanya. Umat-umat terdahulu dikalangan para nabi diuji untuk beriman kepada Allah, beramal soleh dengan mengajak manusia agar beriman dan melakukan kerja-kerja kebajikan. Ujian hidup ini menjadi pengukur dalam membuktikan siapakah golongan yang beriman dan siapakah golongan yang kufur dan munafik.
Mujahadah syarat kejayaan.
Untuk memastikan kejayaan dalam mengharungi ujian Allah ini manusia perlu beriman dan bermujahadah bagi melakukan amal-amal soleh dan bersabar menanggung kesakitan berdakwah dan berjihad dijalan Allah.

وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (29:6)
” Dan sesiapa yang berjuang (untuk menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatupun daripada sekelian makhluk.)” (ibid: ms.1032)
Bermujahadah merupakan sifat terpenting yang perlu ada kepada sesiapa yang ingin mendapat hidayah Allah, ingin memantapkan keyakinan dan keimanan di dalam hati, ingin membentuk sifat-sifat dan akhlak unggul dalam diri dan inginkan kejayaan hakiki di akhirat nanti.
Gelaran mujahid dan mendapat pahala sebagai syahid merupakan setinggi-tinggi gelaran yang diimpikan oleh setiap orang yang beriman. Ia merupakan pengiktirafan Allah terhadap penerimaanNya terhadap ucapan Syahadah yang diucapkan oleh seorang yang beriman.
Dalam surah al-`Ankabut ini Allah menceritakan kisah para nabi yang berjihad dan bermujahadah melakukan amal soleh yang kemuncaknya ialah berjihad menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Jalan para nabi inilah menjadi jalan yang lurus, jalan golongan yang mendapat hidayah Allah yang perlu dilalui oleh setiap orang yang beriman.
Meninggalkan Jihad sifat munafik.
Sikap berdiam diri terhadap maksiat dan kemungkaran, meninggalkan golongan yang berdakwah ke Allah dan tidak memberi sokongan kepada usaha mereka lebih hampir kepada ciri-ciri seorang yang munafik dan berpura-pura beriman kepada Allah.
Golongan ini lebih mementingkan kerehatan hidup di dunia, mementingkan keredaan manusia yang kafir dan fasik dan melupai kehidupan sbenar dinegeri akhirat.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ فَإِذَا أُوذِيَ فِي اللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ النَّاسِ كَعَذَابِ اللَّهِ وَلَئِن جَاء نَصْرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِي صُدُورِ الْعَالَمِينَ (29:10)
Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata : ”kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab Allah ( lalu dia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu mereka sudah tentu akan berkata; ”kami sentiasa bersama kamu” ( Mengapa mereka berdusta) Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terpendam di dalam hati sekelian makhluk” ( ibid; 1033)

Bermujahdahlah
Tentanglah nafsumu
Lawanlah kejahilan dengan cahaya ilmu
Cahaya keimanan
Cahaya kesabaran
Berjuanglah bersama orang yang berjuang.
Kejayaan bukan dengan merentas benua
Tetapi,
pisahkanlah nafsumu darimu selangkah.
Akan tercapailah maksudmu.

No comments:

Post a Comment